Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

Menyanggah pemutar belit sejarah

UNTUK mengatakan bahawa Malaya ditadbir secara demokratik di bawah pemerintahan British adalah kurang bijak.

Dan, untuk mengeluarkan dakwaan ‘terbaharu’ hanya lima hari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 kononnya – asas kemerdekaan itu bermula apabila British memerdekakan negara-negara jajahan mereka di Afrika dan ia diperluaskan kepada negara-negara jajahan mereka yang lain – juga kurang cerdik.

Tiada tanah jajahan waktu sebelum era merdeka yang boleh mengharapkan tanggapan seperti ini, walaupun di negeri-negeri Kesultanan Melayu yang lebih dikenali sebagai naungan British dan bukannya tanah jajahan secara terang-terangan.

Demokrasi menjadi laungan perjuangan orang Melayu hanya selepas mereka menyedari betapa pentingnya pemerintahan sendiri melalui pengalaman semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kejayaan Sukarno dan Hatta di Indonesia yang membebaskan negara mereka daripada pemerintahan Belanda pada 1948 menjadi inspirasi sehingga UMNO berandaian, mencorakkan bendera parti mengikut susunan warna yang sama dengan Sang Saka Merah Putih Indonesia akan membawa petanda yang baik.

Kegagalan Rancangan MacMichael untuk mewujudkan Malayan Union pada 1946 mencetuskan nasionalisme Melayu yang berkobar-kobar merebak ke kawasan luar bandar. Pada 1 Mac tahun berkenaan, suatu kongres besar-besaran diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur melibatkan 38 parti Melayu, bilangan paling besar pernah dikumpulkan dengan suatu matlamat – menentang cadangan kerajaan Malayan Union yang baru.

Wakil-wakil entiti dari seluruh pelosok negara jauh dan dekat, termasuk dari Singapura dan masyarakat Kaum Darat Selangor meluahkan pandangan mereka. Cadangan Malayan Union dibahaskan dan diputuskan sebagai tidak berperlembagaan berhubungan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Perancangan itu berlawanan dengan kehendak rakyat dan juga bertentangan dengan Piagam Atlantik, dan hanya dengan mengembalikan kedaulatan Negeri-Negeri Melayu sahaja menjadi penyelesaiannya.

Semasa UMNO secara rasmi diperkenalkan oleh Tengku Mahkota Johor pada 11 Mei 1946 di perkarangan Istana Besar, hasrat pemerintahan sendiri telah mula membara dan tidak dapat dibendung lagi. Pihak berkuasa British menyedari hakikat ini dan secara beransur-ansur mula melonggarkan ikatan penjajahannya.

Rakyat Malaya waktu itu cukup maklum bahawa Malaya telah dilahirkan di dalam pemerintahan darurat dan masalah ketenteraman awam yang berpanjangan. Permasalahan Gee Hin dan Hai San dalam siri kegiatan samseng mencetuskan Enakmen Kediaman Terhad 1933 (RRE) manakala keganasan pemberontakan gerila komunis terpaksa dihadapi dengan Ordinan Darurat 1948.

Antara kejadian yang paling huru-hara semasa darurat ialah pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 dalam serangan hendap oleh pengganas komunis berhampiran Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kematian Gurney mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan dan penjajah dan sesuatu yang drastik dilakukan dengan pengganti mendiang mewujudkan Rancangan Briggs.

Dalam Rancangan Briggs, kampung-kampung baru untuk orang Cina didirikan di beberapa bahagian Semenanjung terutama di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kampung-kampung ini dikategorikan sebagai kawasan keselamatan berisiko oleh kerajaan kolonial. Urusan keluar dan masuk tertakluk kepada pemeriksaan teliti ke atas bekalan makanan, pakaian dan senjata yang boleh disalurkan kepada pengganas.

Walaupun Rancangan Briggs terbukti berkesan dalam mengurangkan bantuan kepada pengganas, rancangan itu juga ada ‘impak’ yang lain dan ‘terkesan’ sehingga hari ini – mewujudkan polarisasi perkauman iaitu bangsa Melayu dan Cina terutamanya telah dipisahkan.

Orang Cina diletakkan di bandar-bandar, Melayu di kampung-kampung dan India di ladang-ladang getah dan kaman, iaitu berek-berek buruk untuk buruh-buruh yang sebahagian besarnya bekerja di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehingga merdeka pada 1957, fungsi Majlis Perundangan Persekutuan banyak menumpukan kepada strategi dan tindakan terhadap ‘bandits’, satu istilah seni bagi menggambarkan pengganas dan penyokong mereka. ‘Bandits’ terus menentang pihak berkuasa British selepas berakhirnya Perang pada 1945 atas anggapan bahawa mereka adalah kesinambungan rejim penjajahan dan pencerobohan selepas rejim Jepun.

Dan menjelang 1948 apabila pemberontakan komunis di kemuncaknya, pihak British menunjukkan kesediaan mereka untuk memberi Malaya pemerintahan sendiri pada suatu masa yang sesuai.

Perjanjian Persekutuan Malaya 1948 (FMA) menjadi dokumen yang berperanan penting ke arah kemerdekaan yang pada ketika itu adalah kira-kira sembilan tahun lagi.

UMNO merupakan penggerak utama dalam jentera politik kemerdekaan ini. Orang Cina di bawah Persatuan Cina Malaya (MCA) pada 1948 dan India di bawah Kongres India Malaya (MIC) pada 1951, menyertai perjuangan bersama iaitu Malaya untuk orang-orang Malaya. Mereka bergabung membentuk Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum Malaya pertama pada 1955.

Perkembangan yang membawa kepada pilihan raya pertama itulah yang kemudian dimenangi oleh Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan Perikatannya menjadi satu renungan menarik. Ini terutamanya pada tahun-tahun permulaan di mana Tunku dan kawan-kawan setia beliau berunding dengan pihak British dalam pelbagai aspek untuk pemerintahan sendiri.

Seorang sarjana ekspatriat terkemuka dengan jelas menggambarkan keghairahan kemerdekaan sebagai ‘mengharumkan udara Kuala Lumpur dan minda penduduk untuk berhari-hari lamanya’ berikutan 31 ogos 1957 dan pembentukan Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman yang dinanti-nantikan pada 10 September 1957.

No Responses to “Menyanggah pemutar belit sejarah”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s