Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

Keganasan anjuran Anwar Ibrahim…imbau sejarah REFORMASI…

Dibawah adalah petikan dari artikel yang dikeluarkan pada 2001, kita imbau kembali sejarah keganasan yang dianjurkan oleh Anwar Ibrahi..

Sejarah ganas reformasi – Politik cara militan perlu dilawan dengan ketegasan

PENANGKAPAN tujuh orang pemimpin dan aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini dianggap oleh banyak pihak sebagai satu tindakan yang sepatutnya sudah lama dilakukan oleh pihak polis.

Mereka ditangkap kerana disyaki merancang siri kegiatan di luar perlembagaan dan undang-undang bagi memudaratkan keselamatan negara menjelang pilihan raya umum 2004.

Ancaman ke atas keselamatan negara oleh para penyokong reformasi bermula sejak bulan September 1998. Sebelum itu negara kita aman damai. Selepas 2 tahun tujuh bulan, ancaman tersebut terus berlanjutan.

Provokasi, ugutan terhadap ketenteraman awam, demonstrasi haram, rusuhan dan perbuatan lain mencabar undang-undang masih terus berlaku yang menimbulkan tanda tanya apakah sebenarnya yang cuba dirancang oleh mereka.

Kumpulan ini mendakwa mereka percaya kepada demokrasi tetapi tingkah laku mereka sejak tahun 1998 menunjukkan belang yang berlainan. Mereka cenderung kepada jalan kekerasan untuk mencapai cita-cita politik.

Sesiapa sahaja yang berada di pekarangan bangunan Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur pada malam 3 September 1998 pasti dapat merasakan sesuatu yang buruk dalam bentuk gerakan reformasi akan tercetus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan umno.

Sehari sebelum itu Anwar dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika para penyokongnya sudah mula menyebarkan fitnah mengenai persamaan antara suasana di Malaysia dan Indonesia.

Pada malam 3 September, Majlis Tertinggi UMNO bermesyuarat di tingkat 38 menara itu untuk menentukan bentuk tindakan politik yang perlu diambil terhadap Anwar yang sedang menghadapi tuduhan salah laku seks di luar tabii dan rasuah.

Di dalam mesyuarat itu, para pemimpin UMNO menegaskan mereka tidak dapat menerima seorang homoseksual menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti.

Anwar diberi peluang menjelaskan tuduhan-tuduhan terhadapnya yang disanggahnya dengan ucapan lantang dan menghentak-hentak meja.

Ketika Anwar bertempik dalam mesyuarat itu, di pekarangan bangunan ibu pejabat umno, para penyokongnya yang terdiri daripada Dr. Rahim Ghouse dan banyak lagi menghasut orang ramai yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda supaya menentang kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Surat-surat layang dan beberapa dokumen disebarkan dari tangan ke tangan. Mereka mula memekik dan bersorak dengan penuh semangat. Para pemimpin UMNO dipanggil dengan nama-nama yang buruk.

Bilangan mereka ketika itu tidak ramai, mungkin sekitar 1,000 orang.

Kemudian elemen agama digunakan untuk membangkitkan kekeliruan kumpulan itu. Dr. Rahim Ghouse mula bertakbir dan menyanyikan lagu selawat. Ini diikuti oleh rakan-rakannya.

Anwar di tingkat 38 sedang berhadapan dengan mesyuarat yang membincangkan tuduhan-tuduhan liwat ke atasnya. Di tingkat bawah bangunan itu pula, para penyokongnya menggunakan imej agama untuk membelanya.

Suasana ketika itu penuh emosi.

Apabila Anwar keluar daripada mesyuarat itu kira-kira pukul 12.30 malam, dia disambut dengan sorakan dan selawat oleh para penyokongnya. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kemudian berucap.

Anwar seorang yang berkebolehan menyampaikan mesej kabur yang boleh ditanggap dengan cara yang berbeza oleh para pengikutnya.

Katanya kepada para penyokongnya: “Nanti bila mereka turun (ahli-ahli MT yang habis bermesyuarat), jangan ganggu. Beri laluan kepada mereka tapi luahkan perasaan saudara.”

Wartawan-wartawan yang mendengar ucapan itu terpinga-pinga menafsir apakah makna kata-kata “luahkan perasaan saudara.”

Anwar pun pergi tetapi para penyokongnya tetap berhimpun menunggu Dr. Mahathir dan para pemimpin UMNO lain tamat mesyuarat.

Suasana kelam kabut apabila para pemimpin UMNO keluar daripada mesyuarat.

Para penyokong Anwar mula membaling tin dan botol minuman, kertas yang digumpal, batu-batu kecil dan puntung rokok ke arah ahli-ahli MT UMNO.

Dr. Mahathir diiringi oleh anggota polis dan para pegawai ke keretanya di tengah-tengah ejekan dan kata nista para penyokong Anwar. Kata mereka, “Mahathir Bacul”, “UMNO Bodoh.” Kereta Perdana Menteri kelihatan ditendang oleh penyokong-penyokong Anwar yang tidak dapat menahan perasaan.

Peristiwa pada malam 3 September itu memulakan satu episod hitam dalam sejarah Malaysia. Ia menandakan bermulanya demonstrasi jalanan dan kekacauan atas nama reformasi.

Dalam proses membela dirinya daripada tuduhan liwat, salah guna kuasa dan kekecewaan kerana dipecat daripada jawatan politik, Anwar mula mengadakan siri ceramah dan road show yang diadakan secara haram tanpa permit.

Dalam sehari dua itu, sekurang-kurangnya 40 buah laman web Internet juga diwujudkan untuk memburuk-burukkan kerajaan. Beberapa laman web itu terus aktif sampai ke hari ini.

Pada 5 September Anwar membuat Pengisytiharan Gerakan Reformasi bagi menggalakkan kempen ala Indonesia untuk mendapatkan kuasa, memobilisasi penyokong dan menjatuhkan kerajaan yang sah di Malaysia.

Antara taktik gerakan reformasi itu ialah mengadakan perhimpunan, tunjuk perasaan dan membuat provokasi ke atas anggota-anggota polis dan rakyat yang menyokong kerajaan.

Gerakan reformasi segera mentransformasi landskap politik Malaysia. Anak-anak muda dihasut untuk membenci kerajaan di masjid-masjid, sekolah pondok, di universiti dan di kampung-kampung orang Melayu.

Pelekat-pelekat kereta dan poster propaganda reformasi disebarkan.

Antara 11 September sehingga dia ditangkap pada 20 September 1998, Anwar mengadakan road show di 12 buah bandar di Malaysia. Dia hanya tidak melawat Sabah dan Sarawak.

Anwar dan para pemimpin reformasi menyampaikan ucapan-ucapan provokatif. Mereka menyakitkan hati semua orang yang mereka anggap sebagai musuh.

Pemimpin UMNO digelar dengan nama yang jelik. Anwar juga memanggil polis Malaysia sebagai Gestapo dan Mossad iaitu nama polis komunis di Rusia dan polis rahsia Yahudi.

Tiada manusia lapar di Malaysia tetapi gambaran palsu diberikan oleh para penyokong reformasi yang juga pesimpati parti pembangkang lain seolah-olah wajar bagi nyawa dan darah dipertaruhkan.

Kumpulan ini merancang untuk menjatuhkan kerajaan dengan pelbagai cara selain berhimpun secara haram, berarak dan kemudian merusuh.

Terdapat laporan kononnya mereka cuba mempengaruhi bekas-bekas tentera yang berpengalaman dalam persenjataan untuk menyertai gerakan reformasi.

Ini menimbulkan pertanyaan, apa perlunya bekas tentera ditarik untuk menyokong reformasi?

Juga ada cerita mengenai sesetengah penyokong reformasi cuba menggunakan bomoh-bomoh dan guru silat untuk mengenakan ilmu hitam ke atas pihak tertentu bagi memburukkan keadaan keselamatan negara.

Beberapa jam sebelum Anwar ditangkap pada tengah malam 20 September 1998, para penyokongnya mengatur dua perarakan besar di Kuala Lumpur.

Perarakan pertama ialah ke bangunan ibu pejabat UMNO. Di sana mereka telah merosakkan peralatan dan bahan-bahan di balai pameran UMNO yang dipijak-pijak dan dipecahkan.

Satu kumpulan lain pula seramai kira-kira 4,000 orang berarak ke Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Jalan Damansara untuk melakukan kekacauan. Polis terpaksa menggunakan water cannon bagi menyuraikan perarakan itu.

Mereka juga mengugut untuk mengganggu Sukan Komanwel yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur hingga membimbangkan pihak berkuasa tentang keselamatan Ratu Elizabeth yang berada di ibu kota ketika itu.

Taktik kumpulan reformasi Malaysia itu sama seperti yang digunakan dalam keganasan politik di Indonesia iaitu mencetuskan huru hara untuk berkuasa.

Ini menyebabkan polis terpaksa bertindak pada malam itu kerana keadaan keselamatan di ibu negara dalam bahaya. Beberapa penyokong Anwar ditangkap di bawah ISA.

Anwar sendiri ditahan oleh pasukan elit polis di rumahnya di tengah-tengah ugutan para penyokongnya.

Pemimpin reformasi yang takut menghadapi akibat perbuatan mereka seperti Dr. Rahim Ghouse lari ke seberang laut dan tidak balik-balik ke Malaysia sampai sekarang.

Selepas penangkapan tersebut, pemimpin-pemimpin reformasi yang belum ditangkap atau dibebaskan daripada ISA meneruskan aktiviti mereka merancang fitnah dan mengatur pelbagai perhimpunan haram.

Laman-laman web mereka penuh dengan berita menakutkan. Salah satu berita yang disebarkan pada malam 20 September 1998 ialah dakwaan beberapa buah bangunan tinggi di Kuala Lumpur akan dibom oleh para penyokong reformasi.

Siri demonstrasi haram mula dilancarkan di pekarangan bangunan mahkamah di Jalan Raja Kuala Lumpur, persimpangan Masjid Jamik Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Istana Negara, Masjid Negara di samping berpuluh-puluh lagi tempat lain di seluruh negara.

Demonstrasi itu dirancang secara konsisten setiap minggu sehingga bulan November. Mereka menunggu-nunggu sidang kemuncak Ketua-Ketua Kerajaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan pada bulan itu.

Dalam tempoh itu, kumpulan reformasi mula melobi pemimpin-pemimpin asing termasuk dari Amerika Syarikat. Pertemuan-pertemuan sulit dan tidak sulit diadakan dengan para pegawai asing.

Ini mempengaruhi bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada memberi sokongan terbuka kepada gerakan reformasi yang dicetuskan oleh Anwar. Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore pula menghina Malaysia dengan secara terbuka memuji keganasan para penyokong reformasi.

Dalam perarakan-perarakan menjelang kedatangan Al Gore, penyokong-penyokong reformasi membakar tong-tong sampah, kayu-kayu dan kotak-kotak kertas di jalan-jalan penting ibu kota.

Ada sesetengahnya membawa pisau, lastik, batu dan dalam satu insiden di Kampung Baru, mereka membuat molotov cocktail menggunakan botol dan minyak petrol.

Mereka memecahkan kereta dan kenderaan dan kemudian lari ke dalam masjid-masjid atau pusat-pusat membeli-belah.

Beberapa aktivis reformasi yang mempunyai kepakaran dalam pembikinan filem dan penulisan merakamkan kejadian-kejadian rusuhan itu untuk disebarkan melalui Internet, CD, video dan diedarkan kepada orang asing.

Semua perancangan dilakukan secara teratur dan nampaknya mereka mempunyai sokongan kewangan yang besar.

Salah satu kejadian yang dapat dirakamkan oleh jurugambar yang menunjukkan wajah sebenar para penyokong reformasi ialah perbuatan mereka memukul seorang anggota polis berpakaian preman di depan Masjid Jamik Kampung Baru.

Nasib baik anggota polis itu diselamatkan oleh rakan-rakannya yang terpaksa melepaskan tembakan amaran.

Anggota polis itu ditugaskan merakamkan gambar-gambar perhimpunan penyokong reformasi tetapi kerana kebencian kepada polis telah ditanamkan oleh pemimpin gerakan reformasi di Malaysia, memukul anggota polis yang sedang bertugas sudah tidak dianggap satu jenayah.

Bahaya gerakan reformasi semakin terdedah apabila dalam satu perarakan pada bulan November 1998, mereka membakar dua buah motosikal polis peronda.

Bagaimanapun, oleh kerana keganasan gerakan reformasi itu bercampur-campur antara slogan keadilan dan pembelaan seorang manusia yang mendakwa dia seorang manusia yang baik, maka rupa jahat reformasi sukar untuk difahami oleh para penyokongnya.

Parti-parti pembangkang lain pula sengaja tidak mahu memahami wajah hitam itu semata-mata kerana keghairahan untuk berkuasa.

Inilah yang menyebabkan mereka menyokong aksi-aksi ganas dalam perhimpunan lain beberapa bulan kemudian misalnya kejadian di Jalan Kebun, Klang pada bulan November tahun 2000.

Bukti-bukti risikan yang dikumpulkan oleh pasukan polis mengenai rancangan kumpulan reformasi pada masa lepas untuk bertindak secara militan dengan cuba memperoleh bahan letupan termasuk bom dan grenade launcher, molotov cocktail, lastik ball bearing dan pelbagai senjata berbahaya lain untuk menyerang pihak keselamatan adalah umpama iceberg di permukaan laut.

Masalah yang berada di bawah laut itu mungkin lebih besar memandangkan reformasi, seperti juga gerakan komunis bawah tanah suatu ketika dahulu, telah menjadi ancaman keselamatan utama Malaysia.

Jadi apabila peninggalan (relic) zaman komunis iaitu ISA dikuatkuasakan demi keselamatan Malaysia, kita patut menyedari tentang sejarah: Politik dengan cara ganas seperti reformasi perlu dilawan dengan ketegasan.

Sejarah itu juga menunjukkan wajah reformasi telah diubah oleh pemimpin dan penyokongnya selepas pilihan raya umum 1999 untuk menunjukkan mereka mencintai proses demokrasi normal, tetapi hati mereka masih kekal seperti pada tahun 1998.

Mereka juga terus gagal untuk menyedari tentang sebab-sebab orang tertentu beria-ia sangat menggalakkan rusuhan-rusuhan reformasi.

One Response to “Keganasan anjuran Anwar Ibrahim…imbau sejarah REFORMASI…”

  1. Itulah Manusia bernama Anuar Ibrahim , sayang seribu kali sayang. Kalau Alahyarham Tunku Abds Rahman di gelar Bapa Kemerdekaan , Alahyarham Tun Abd Raazak di gelar Bapa Pembangunan , di susuli Alahyarham Tun Hussein Onn di gelar Bapa Perpaduan dan Tun Dr Mahathir di gelar Bapa Permodenan, apa kah gelaran yang amat sesuai di bagikan p[ada insan bernama Sdr Anuar Ibrahim ni? mungkin boelh di gelar BAPA DEMONTRASI atau BAPA KEHANCURAN MELAYU. Mana sesuai ya?


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s