Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

Kesepaduan Sosial – Prasyarat Moderat

Semenjak terjadinya rusuhan etnik 13 Mei 1969, Malaysia telah menjadikan ‘perpaduan nasional’ sebagai matlamat akhir utama untuk dicapai, khususnya, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancar pada tahun 1971. Apabila DEB tamat pada 1990 perpaduan yang diidamkan itu masih belum tercapai.

Pada 1991 rakyat Malaysia diperkenalkan pula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu dengan Wawasan 2020 yang berteraskan konsep Bangsa Malaysia, suatu bentuk perpaduan yang dijangkakan akan dicapai pada tahun 2020.

Sehingga tahun 2009, tiada sebarang tanda-tanda jelas di mana perpaduan yang diharapkan itu akan dicapai. Maka diperkenalkan pula konsep 1Malaysia oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merangsang masyarakat Malaysia ke arah perpaduan.

Sebenarnya dalam tempoh 42 tahun (1969-2011) lalu, biar pun perpaduan yang kita impikan sangat-sangat itu belum tercapai, namun kita telah mencapai sesuatu yang signifikan yang menjadikan Malaysia negara contoh kepada banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Malah laporan yang dihasilkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang berpangkalan di Sydney dan yang bertanggungjawab menghasilkan Global Peace Index 2011 menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke 19 daripada 153 negara sedunia yang berjaya mengekal suasana aman dan kestabilan politik. Malah Malaysia didapati jauh lebih baik daripada jiran-jiran di rantau Asia Tenggara, termasuk Singapura.

Apa yang sebenarnya telah dicapai oleh Malaysia dalam tempoh 42 tahun itu ialah suatu ‘kesepaduan sosial’ (social cohesion) yang merupakan prasyarat kepada perpaduan yang kita inginkan.

‘Kesepaduan sosial’ inilah sebenarnya yang menjadi tiang seri kepada konsep equilibirium yang disebut oleh Najib, sebagai anak kunci masyarakat moderat Malaysia yang diperagakan beliau apabila menganjurkan gagasan Global Movement of the Moderates (GMM, atau ).

Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, semenjak ditubuhkan pada Oktober 2007, telah membina suatu korpus ilmu dan maklumat mengenai ‘Kesepaduan Sosial’ (KS), sebagai suatu model sosial, yang boleh menjadi suatu pakej pelengkap kepada gagasan GMM, anjuran Perdana Menteri, dan boleh mengisinya secara konkrit.

Pakej yang dimaksudkan ini mengandungi lima komponen penting dalam kerangka konsep Kesepaduan Sosial (KS) yang bersifat umum:

  1. Konsep;
  2. Kerangka analisis bersifat struktural-sejarah;
  3. Penginstitusian dan bentuk institusi-institusi ‘perkongsian kuasa’ teras KS;
  4. Dasar awam, pelaksanaan dan sistem penilaian mendalam;
  5. Alat-alat untuk memantau KS secara berterusan (R&D Sosial; Sistem Amaran Awal dan Indeks Ikatan Sosial).

Pakej Kesepaduan Sosial (PADU) ini boleh dimanfaat sebagai alat untuk memulakan perundingan(engagement) dan tolak ansur di meja bulat perundingan di antara pihak yang berbalah tanpa mana-mana pihak mengalami untung rugi.

Dalam usaha KITA untuk memasyarakatkan ilmu, korpus ilmu yang dibina berteraskan Kesepaduan Sosial ini telah dibentangkan di beberapa persidangan dalam dan luar negara, dan dibincangkan dalam rancangan bual bicara TV dan radio.

Ada beberapa pihak yang telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan KITA untuk membawa pakej ini untuk diaplikasikan di luar Negara, khususnya di Timur Tengah, yang kini berdepan dengan suatu krisis sosial amat gawat, justeru itu memerlukan suatu penyelesaian aman.

Salah sebuah syarikat yang mempunyai syarikat bersekutu antarabangsa, iaitu, Digital Daya yang berpangkalan di Washington D.C (Amerika Syarikat), Dubai (Emiriyah Arab Bersatu) dan Kuala Lumpur (Malaysia), iaitu E-MAM Kapitan Sdn. Bhd. telah menyatakan hasrat mereka untuk menggunakan pakej ini sebagai input penting dalam pembinaan ‘Taman Intelektual’ yang mereka sedang usahakan bersama Muzium Negeri Pahang di Pekan.

Melalui kerjasama penting ini, sebuah pusat global mengenai Kesepaduan Sosial yang telah dicadangkan namanya sebagai ‘Global Social Cohesion Center Malaysia, Pekan’ (GSCCMP) akan di bina dalam ‘Taman Intelektual’ ini.

Melalui pusat ini nanti kerja-kerja mendalami hasil kajian rintis pakej kesepaduan sosial ini dapat diperkemaskan sebelum dieksport keluar negara.

Sebenarnya inilah julung kalinya sebuah institusi penyelidikan bersifat sains sosial di Malaysia berjaya menampilkan sebuah ‘model sosial,’ iaitu, Pakej Kesepaduan Sosial (PADU), untuk diguna pakai oleh sesiapa saja yang berminat membina keamaanan dan kestabilan secara berterusan dalam sesebuah komuniti atau masyarakat.

Dalam konteks domestik, PADU juga adalah suatu pakej yang mempunyai nilai tambah tinggi kepada mereka dalam sektor swasta, khususnya, terhadap mana-mana projek korporat yang melibatkan masyarakat, seperti projek pembangunan perumahan, hartanah, CSR, dan projek filontrofi. Ianya boleh menjadi daya tarikan kepada pelanggan dan mempunyai potensi untuk meningkatkan keuntungan.

Dalam sektor awam pula, kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, malah GLC juga, boleh memanfaatkan PADU ini ke arah menguntungkan masyarakat secara jangka panjang dan juga untuk meningkatkan keuntungan kepada GLC.

Sumbangan UKM, melalui KITA dengan bantuan E-MAM ini diharapkan dapat membantu usaha murni Perdana Menteri dalam mengetengahkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah beliau melalui gerakan global moderat yang akan dilancarkan pada 17 Januari ini di Kuala Lumpur.

Ini sebenarnya adalah hadiah Malaysia kepada dunia dan diharapkan kerjasama dengan E-MAM sebagai sebuah syarikat swasta yang prihatin dengan pembangunan masyarakat dan pembinaan negara bangsa akan mencapai kejayaan yang diharapkan.

——————————————-

Oleh SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN dan ANIS YUSAL YUSOFF. PROF. ULUNG DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN ialah Pengarah Pengasas di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM. ANIS YUSAL YUSOFF ialah Felo Penyelidik Utama di institut yang sama.

No Responses to “Kesepaduan Sosial – Prasyarat Moderat”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s