Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

Politik Kebencian & Dendam: Di Mana Strategi?

Muhammad Natsir, ahli politik Indonesia pada zamannya memilih politik berjalur dakwah sebagai asas memperkasa umat Islam di sana. Bagaimanapun, di Malaysia politik Islam pula berjalan dengan memberikan batas yang tajam dengan slogan kafir, taghut, jahiliah hingga menyebabkan terjadinya perpecahan.

Sesuatu yang amat bahaya dalam perjuangan politik Islam di negara ini apabila terbinanya sikap jumud dan fanatik melulu di kalangan pengikut parti sehingga muncul label-label yang menghina dan menanam kebencian terhadap pihak lain yang tidak seacuan dengannya. Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ia bakal menghilangkan  ukhuwah dan persaudaraan yang dituntut Islam.

Sikap jumud ini menyebabkan kebekuan dalam berfikir dan membuat keputusan sehingga tidak terbuka untuk mendengar pandangan orang lain.  Golongan ini memandang curiga terhadap orang lain dan menganggap pandangan orang yang tidak sehaluan semuanya salah.

Yang memperjuangkan Islam hanya mereka saja. Sedangkan, perjuangan Islam itu sifatnya ibarat mata rantai dan saling melengkapi dan sambung menyambung.

Justeru, pihak kerajaan dalam batas yang termampu menghasilkan program Islam dalam bentuk kegiatan dan institusi. Pihak jamaah dan gerakan Islam tentu ada peranannya untuk menyuburkan dakwah dan kesedaran Islam. Penggerak politik Islam sudah tentu ada cita-citanya tersendiri bagaimana negara Islam harus terbina.

Sekiranya berlaku sinergi secara bijaksana banyak yang boleh dilakukan untuk memartabatkan Islam di Malaysia. Islam tidak seharusnya dilihat sebagai agama rohaniah semata-mata. Kekuatan rohaniah harus terpancar dalam amalan iaitu program-program ilmu, pendidikan, keusahawanan dan ekonomi, membangun tenaga modal insan yang berkualiti.

Jika ini tidak berlaku Islam masih dalam tahap umumiyyat, retorik dan slogan. Tidak salah mengadakan seminar, simposium dan bengkel tapi focus penting ialah strategi melaksana yang tinggi supaya Islam tidak hanya menjadi laungan dan seruan. Ia adalah suatu kenyataan yang harus diinstitusikan.

Usaha membangunkan bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), takaful, sukuk atau bon Islam, Islamisasi ilmu dan sistem adalah sesuatu yang bermanfaat. Mengapa usaha ini tidak diteruskan dengan jiwa wehdah (kesatuan) yang tinggi supaya sesuatu yang bermula bakal berkembang menjadi suatu sistem.

Sekian lama banyak masa umat Islam membazir dengan percanggahan pemikiran akibat faham politik yang membawa kebencian dan dendam kesumat terhadap orang lain dan ini mengakibatkan agenda utama memperkasa umat menjadi hal-hal sampingan.

Yang anehnya kelompok politik ini tetap menggunakan khidmat institusi berkenaan dan merasakan manfaatnya. Tetapi pada masa sama jarang kedengaran memuji usaha daripada institusi berkenaan.  Misalnya  kritikan yang menghina penubuhan UIAM pada 1983 sebagai “universiti tong tahi” dan penubuhan Bank Islam sebagai usaha “tempel-tempelan” seketul daging babi dalam  sekawah daging lembu.

Tetapi kalau ditanya di kalangan para pengkritik dan pengikut-pengikutnya apakah anak-anak mereka dihalang daripada belajar di UIAM atau mereka di halang meminjam dan membeli saham di Bank Islam? Tidak pula ia berlaku. Sistem pengambilan pelajar-pelajar kita untuk dihantar keluar negara dan universiti tempatan tidak mengira anak Pas atau UMNO atau tidak berparti. Sesiapa saja yang layak mereka berpeluang untuk belajar.

Amat malang bagi kita akibat politik kebencian dan dendam kesumat bukan politik kasih sayang dan saling menghargai menjadi punca kepada perpecahan umat Melayu dan menyebabkan kita hilang punca bagaimana kesatuan boleh berlaku.

Politik nafsu-nafsi, cita-cita besar tetapi kurangnya keupayaan strategik menyebabkan perbalahan terus berlaku. Kita tidak pandai melakukan interaksi positif dan muzakarah untuk melihat masalah dan mencari jalan penyelesaian yang bijaksana.

Kita masih lagi dalam politik takuk lama iaitu mengambil pendekatan konfrontasi sedangkan Hamas dan PLO sudah berubah arah dan Ikhwan Muslimin di Mesir sedang mencari rakan politik yang sesuai bukannya membina dendam kesumat dan kebencian.

One Response to “Politik Kebencian & Dendam: Di Mana Strategi?”

  1. PAS ni apa dia peduli pasal perpaduan ummah. Dia hanya mementingkan perpaduan ummah ketika untuk menjatuhkan ummah yang sebangsa dan seagama.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s