Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

PRU 13: BILA DAN BAGAIMANAKAH PELUANG BN?

Ramalan mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kian rancak diperkatakan oleh rakyat jelata dan kepimpinan parti pemerintah dan alternatif di pelbagai peringkat di seluruh negara.

Namun hanya Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sahaja yang mengetahui tarikh sebenarnya kerana tugas menentukan tarikh PRU 13 adalah prerogatif atau hak beliau selaku Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Apabila tarikh yang disifatkan sebagai kegemaran Datuk Seri Mohd Najib – 11 November 2011 atau 11.11.11 – sudah berlalu, para pemerhati politik pun meramalkan bahawa PRU 13 mungkin diadakan pada suku pertama atau suku kedua tahun 2012.

Namun tumpuan seperti ini adalah suatu tindakan tidak mendatangkan faedah. Lebih baik fokus ini diarahkan kepada persoalan bagaimanakah peluang BN jika PRU 13 diadakan pada tahun 2012 berbanding pada tempoh akhir hayat Parlimen 12 pada akhir 28 April 2013?

Persoalan ini penting untuk membolehkan analisis terhadap kekuatan serta kelemahan BN mutakhir ini sebelum ia perlu mengadakan PRU13. Ia juga membolehkan semua pihak menganalisis kedudukan parti-parti alternatif yang kini menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan juga Selangor.

Kelemahan dan kekuatan BN serta Pakatan Rakyat boleh dianalisis menerusi kedudukan anggota komponennya di semua peringkat berdasarkan senario terkini.

Dalam konteks BN, hampir kesemua komponennya menghadapi kekangan yang jelas. UMNO, termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri yang menjadi komponen BN dengan kerusi Parlimen dan Dewan Negeri yang terbanyak, dikatakan bermasalah di semua peringkat akibat pelbagai punca.

Paling nyata sekali adalah masalah ketulusan serta keikhlasan segolongan pimpinan UMNO Bahagian dalam menyampaikan maklum balas kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti di peringkat negeri dan pusat.

Hakikat ini pastinya sudah berada dalam pengetahuan Datuk Seri Mohd Najib. Oleh sebab itulah beliau sering mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan hasrat supaya para pemimpin berkenaan menganalisis kekuatan masing-masing secara ikhlas bagi membolehkan proses damage control dilakukan secara tepat dan berkesan.

Contohnya, Datuk Seri Mohd Najib pastinya sudah sedia maklum bahawa terdapat sesetengah UMNO di negeri-negeri yang dalam kekuasaan alternatif mempunyai Badan Perhubungan yang lemah dan penuh dengan politiking sesama sendiri. Beliau juga pastinya sudah tahu akan kewujudan sesetengah pemimpin di negeri yang dikuasai kerajaan alternatif yang asyik mengutip dana untuk kegiatanparti tetapi penyaluran dana berkenaan didakwa sebagai tidak menampakkan perubahan yang memberangsangkan.

Selain itu, ada juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang sentiasa diperlekehkan oleh lain-lain Ketua Bahagian, terutamanya mereka yang pernah menerajui kepimpinan di negeri berkenaan.

Di sebuah negeri tertentu pula terdapat Menteri Besarnya yang menguruskan kerajaan dan UMNO secara cekap profesional. Tetapi, beliau dikatakan diperkotak- katikkan oleh sebilangan Ketua Bahagian oleh kerana bumembabitkan daya baru ini disifatkan sebagai tidak selaras dengan amalan politik partronage yang berakar-umbi sebelumnya.

Dalam pada itu ada pula Ketua Perhubungan UMNO yang dilaporkan sebagai terlibat dengan masalah peribadi walaupun negeri ini berhadapan dengan pengaruh PAS yang kuat impaknya. Ketua Wanita UMNO Malaysia pula sedang dipalitkan dengan persepsi negatif bersabit urusan perniagaan keluarganya yang membabitkan dana wang rakyat berjumlah ratusan juta ringgit.Persepsi ini turut menjejaskan nama baik UMNO dan BN.

Amalan menyekat kemasukan ahli-ahli baru berkelulusan tinggi juga masih dilaksanakan oleh sebilangan Ketua UMNO Bahagian yang takut dirinya tergugat oleh keahlian kategori ini sehinggamenyebabkan kumpulan profesional ini kecewa dan merajuk hati terhadap UMNO.

Selain itu, MCA pula disifatkan oleh para pemerhati politik tanah air sebagai amat lemah dan mungkin sukar untuk meraih kemenangan besar dalam PRU 13 kelak. Satu forum anjuran thinktank ternama tempoh hari diberitahu oleh seorang ahli panelnya bahawa situasi ini jadi semakin tenat mutakhir ini.

Di samping itu, katanya, sokongan pengundi keturunan Cina kepada BN sebenarnya hanya kira-kira 35% daripada keseluruhan pengundi Cina. Ini pun dalam keadaan BN berada di mercu kegemilangannya seperti dalam era Tun Dr Mahathir Mohamad. Lantas, anggota panel berkenaan pun mempersoalkan, apakah kepimpinan BN sedang melaksanakan strategi yang tepat apabila tumpuannya kepada komuniti Cina kelihatan amat jelas dan menonjol mutakhir ini.

Perkembangan dalam PRU Singapura tempoh hari juga dikhuatiri mungkin merobah pendirian sesetengah pengundi Cina dari MCA di Johor terhadap BN. Perkembangan ini dijangka dieksploitasikan oleh DAP yang mempunyai tokoh-tokoh utamanya kelahiran Batu Pahat, Johor.

Forum ini juga diberitahu oleh seorang lagi ahli panel bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat (PR) sebenarnya adalah kecil dan majoritinya daripada kalangan anggota serta penyokong PAS.

Di samping itu terdapat juga sokongan daripada kelompok Melayu bandar yang tidak sensitif kepada kelangsungan BN dan UMNO. Ini kerana mereka lebih terpengaruh dengan kegiatan politik ideology-based berbanding parti-parti politik yang berasaskan etnik dan berasaskan agama.

Kekuatan MIC dan Gerakan pula dikatakan sangat membimbangkan disebabkan segolongan masyarakat India dan Cina kini bukan sahaja mendukung DAP malahan PR. Oleh sebab itu, adalah diramalkan sukar untuk BN menawan semula Pulau Pinang.

Sementara itu, kedudukan BN di Sarawak dan Sabah juga diramalkan tidak menentu. Ini kerana kepimpinan tertinggi parti di Sarawak dikatakan kecil hati terhadap kerajaan pusat yang mengerahkan SPRM menyiasat perilaku mereka tempoh hari.

Di samping itu, undi Bumiputera bukan Melayu di Sarawak, walaupun masih bersama BN, tetapi dijangka boleh beralih kepada pihak alternatif jika masalah- masalah strategik mereka masih tidak dilayan dan diselesaikan menjelang PRU 13.

Di Sabah pula dikatakan wujud bangkangan senyap oleh segolongan anggota UMNO terhadap Ketua Menterinya. Fenomena ini dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi BN Sabah, jika tidak ditangani secara berkesan sebelum PRU 13.

Seluruh huraian di atas adalah serius dan memerlukan masa untuk mengatasinya menjelang PRU 13. Oleh sebab itu, adalah lebih baik jika BN mengatasi majoriti masalah di atas sebelum pilihan raya berkenaan.

Lantas, jika ini dilakukan, adakah BN mempunyai waktu secukupnya kalau PRU 13 di adakan pada suku pertama atau suku kedua tahun 2012?

Lantaran itu, bukankah lebih munasabah jika seluruh masalah di atas diatasi sedaya upaya menerusi pendekatan yang tegas dan berkesan? Jika ini mahu dilakukan demi kelangsungan BN, maka adalah lebih praktikal kalau PRU 13 diadakan pada tempoh hayat Parlimen ke-12 iaitu pada akhir 28 April 2013.

Kesimpulannya, walaupun penetapan tarikh PRU 13 adalah hak dan kuasa Datuk Seri Mohd Najib, dan walaupun beliau mempunyai akses kepada pelbagai maklumat risikan yang berwibawa, adalah wajar jika prerogatif ini beliau laksanakan berdasarkan senario dan maklum balas mutakhir supaya kemenangan BN dalam pilihan raya berkenaan adalah lebih terjamin. Sepatah kata bidalan Melayu: sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya!.

Oleh Ruhanie Ahmad

Advertisements

No Responses to “PRU 13: BILA DAN BAGAIMANAKAH PELUANG BN?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s