Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

MENANGI HATI ORANG MELAYU

Bermula 29 November hingga 3 Disember ini Perhimpunan Agung UMNO sekali lagi akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Signifikannya persidangan kali ini, ia dilihat sebagai kali terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan.

Pastinya dalam suasana politik hari ini, kedudukan dan penerimaan masyarakat terhadap parti ini masih lagi menjadi sesuatu yang ditagih kerana perjuangan untuk agama, bangsa dan negara oleh UMNO selama ini telah dilaksanakan dengan cemerlang.

Namun bersesuaian dengan keputusan PRU-12, UMNO itu sendiri perlu berubah mengikut kehendak dan keperluan semasa tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan kelangsungan yang telah diperjuangkan selama ini.

Untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan ini Mingguan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, DATUK OTHMAN MOHAMAD beserta ZIN MAHMUD, GAMAL NASIR MOHD. ALi, MARHAINI KAMARUDDIN, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN telah mewawancara bekas Perdana Menteri TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD pada Khamis lepas.

Dr. Mahathir, menyatakan sehingga kini UMNO masih belum lagi giat berusaha untuk mendapat sokongan daripada rakyat terutamanya orang Melayu.

Ujarnya dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di Tingkat 86, Menara Dua KLCC, BN tidak boleh menang hanya dengan undi Cina sahaja.

“Ia hanya undi tambahan. Undi Melayu perlu diperoleh cukup banyak, jika tidak kita tidak boleh menang,” katanya.

MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat keadaan UMNO hari ini?

DR. MAHATHIR: Saya tidak nampak UMNO sedang giat berusaha untuk mendapat sokongan daripada rakyat. Biasanya dekat-dekat pilihan raya ada banyak aktiviti supaya rakyat dapat faham perjuangan yang sebenarnya tapi nampaknya tidak begitu aktif, tak tahulah saya memandangkan saya jarang keluar akhbar sekarang, jadi saya tak tahulah. Ini impression yang saya dapat.

Apakah berbeza jika dibandingkan dengan keadaan dahulu?

DR. MAHATHIR: Dahulu kita kuat, tidak ada orang yang meninggalkan parti tetapi sekarang kita perlu memenangi semula mereka yang telah meninggalkan parti. Umpamanya UMNO masih tidak terima ahlinya yang letak jawatan atau keluar UMNO ketika saya bertindak keluar dahulu. Ramai juga yang keluar tapi banyak bahagian yang tidak mahu terima mereka, walaupun jumlah mereka sedikit. Kita tidak menang pilihan raya lalu dengan undi besar, jadi kalau ada ahli yang keluar walaupun 200 atau 300 orang itu sudah cukup besar. Kalau lari 100 orang kita kena cari 200 orang balik. Jika tidak dapat jumlah dua kali ganda yang telah meninggalkan UMNO agak susah untuk kita dapat kemenangan.

Apakah ini punca kebanyakan mereka beralih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana permintaan mereka untuk kembali dalam UMNO ditolak?

DR. MAHATHIR: Ini lebih kerana kecewa kerana dahulu mereka percaya UMNO akan memperjuangkan nasib mereka. Sekarang ini mereka dapati UMNO tidak nampak memperjuangkan nasib orang Melayu. Sebab itu mereka menubuhkan NGO dan ia sebenarnya tidak boleh buat apa-apa pun tetapi kerana mereka mempunyai ahli dan tidak mengundi UMNO dan BN maka kesannya besar. Sebab itu kita kena tahu alasan kenapa mereka beralih kepada NGO.

Tidakkah dengan wujudnya NGO ini akan memecahbelahkan penyokong UMNO?

DR. MAHATHIR: Mereka nak sokong UMNO seperti contoh Perkasa, mereka sokong UMNO tetapi kerana terdapat isu-isu orang Melayu yang tidak dimainkan UMNO dan kemudiannya diambil alih oleh Perkasa. Oleh itu UMNO harus ambil tahu, tidak boleh melihat Perkasa sebagai musuh. Kita sebenarnya tidak boleh mempunyai banyak musuh pada masa sekarang. Orang yang hendak menjadi musuh pun kita patut pertahankan dan kemudian ambil tahu apa masalahnya.

Kita lihat perkiraan NGO mudah iaitu dari segi Melayu, tapi kalau dari segi UMNO sebagai kerajaan pula terpaksa mengimbangi antara Melayu dan bukan Melayu. Bagaimana seharusnya NGO ini berperanan?

DR. MAHATHIR: Kita boleh jaga kepentingan orang bukan Melayu tanpa membelakangkan kepentingan Melayu. Kita harus jelas sebab-sebab kita membuat tindakan. Umpamanya tempat-tempat dalam universiti kerajaan kita ambil tahu tetapi kita tidak ambil tahu tempat-tempat dalam universiti swasta. Apakah orang Melayu begitu ramai di universiti swasta? Jika orang Melayu semakin kurang dalam universiti kerajaan dan tidak ramai di universiti swasta, maknanya mereka semakin hilang tempat. Sedangkan masa saya masih memerintah, kita tubuh twinning arrangement untuk memberi peluang kepada orang bukan Melayu mendapat pelajaran di universiti. Lepas itu kita benarkan penubuhan universiti swasta untuk memenuhi keperluan pendidikan bukan Melayu kerana kita tahu mereka tidak dapat banyak tempat di universiti kerajaan. Tapi sekarang ini kita tubuh banyak universiti swasta tetapi kita kurangkan lagi pelajar Melayu dalam universiti kerajaan. Nampaknya orang Melayu yang semakin rugi.

Tun nampaknya melihat UMNO tidak ada usaha yang giat untuk menarik sokongan orang Melayu. Berdasarkan pengalaman Tun apa nasihat Tun untuk memperbaiki keadaan ini?

DR. MAHATHIR: Masa saya dahulu tidak banyak masalah kerana UMNO sangat kukuh dan mereka yang dipilih memimpin terdiri daripada mereka yang berpengalaman. Tetapi sejak beberapa tahun ini orang yang ada kelulusan tinggi tidak diterima masuk dalam UMNO, sebab itu mereka masuk Pas. Jadi di kalangan pemimpin UMNO tidak banyak yang berkaliber, tambah lagi mereka dikaitkan dengan rasuah seperti bertanding untuk Ahli Majlis Tertinggi misalnya. Malah banyak cerita ahli dapat sesuatu untuk mengundi mereka. Oleh itu UMNO perlu kikis perkara ini, jika rasuah itu sudah berlaku sekurang-kurangnya orang yang seperti ini tidak boleh dibenarkan jadi calon.

Masihkah ada masa untuk memperbetulkan keadaan UMNO sebelum menghadapi pilihan raya?

DR. MAHATHIR: UMNO sudah menjadi rosak dengan teruk apabila Tun Abdullah Badawi mengambil alih. Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi pertuduhan rasuah dan pelbagai lagi. Lepas itu orang tahu tentang penglibatan menantunya. Sekarang ini UMNO yang rosak ini diwarisi oleh Datuk Seri Najib untuk beliau perbaiki. UMNO memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin UMNO yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru.

Tun melihat soal tidak berlaku perubahan ini di peringkat bahagian atau semua peringkat?

DR. MAHATHIR: Saya melihat dari peringkat cawangan sampai ke pusat.

Maknanya dari tahun 2008 hingga sekarang tidak ada perubahan?

DR. MAHATHIR: Tidak nampak perubahan yang berkesan dan UMNO pun tidak boleh mempertahankan diri. Bila dituduh rasuah senyap, bila dituduh rasis pun hanya senyap. Malah nak sebut nama Melayu pun sudah tidak boleh lagi, kalau sebut sahaja sudah jadi rasis. Orang lain boleh sebut bangsa mereka tapi orang Melayu tidak boleh. Saya pun dituduh rasis kerana bercakap tentang Melayu.

Apakah ini disebabkan kemunculan Melayu liberal yang semakin lantang bersuara. Mereka melihat parti yang mewakili Melayu ini sudah tidak relevan?

DR. MAHATHIR: Kita kena perjelaskan kenapa anggapan mereka bahawa parti berasaskan kaum ini tidak lagi relevan adalah salah. Tapi tidak ada satu usaha yang gigih untuk menjelaskan kepada mereka dan tanya pendapat mereka tentang hal ini. Kalau kita di pihak yang betul kita boleh jelaskan.

Mungkinkah kerana senario selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang begitu berbeza ketika zaman Tun dahulu. Ini kerana mereka semakin vokal dan agak memberontak?

DR. MAHATHIR: Kita tidak menjawab apa yang mereka persoalkan. Kita tidak jelaskan kepada mereka apa yang tidak betul. Ada yang fikir, kalaupun kita tidak diperintah oleh orang Melayu apa salahnya?

Siapa yang perjelas setakat ini? Dalam akhbar sajalah… (Sebenarnya) Orang Melayu sedia kongsi kuasa dengan orang lain, kita yang bagi hak kepada mereka tapi itu pun kita tidak berani sebut takut dituduh rasis. Tapi ini kebenaran. Ada yang kata orang Melayu juga adalah pendatang, kita tidak kata apa. Ada satu orang sebut (menjelaskan keadaan sebenar) di Pulau Pinang, dia telah digantung seolah-olah dia kata perkara yang salah sedangkan ia fakta. Takkan kita tidak boleh jelaskan kenapa Malaysia ini dipanggil Malaysia?

Adakah kerana semangat Melayu semakin berkurang atau kerana kurang kemampuan?

DR. MAHATHIR: Ini kerana kurang kemampuan dan juga kurang usaha. Masing-masing hanya menjaga tempat dia sahaja. Apa yang penting bagi mereka masih kekal sebagai ketua bahagian dan sebagainya. Jangan ada orang yang hendak mencabar mereka dan kerana itu tidak bagi orang yang ada bakat masuk bahagian mereka. Keduanya, mereka hendak jadi calon pilihan raya dan tidak menumpukan kepada menguatkan kembali UMNO. Kita kalau bertanding pilihan raya tetapi parti kalah tidak ada gunanya kerana kita hanya menjadi parti pembangkang. Yang penting bukan individu tetapi parti yang perlu menang. Jika ini keadaannya dan kalau terjadi cantas-mencantas, lagi UMNO akan kalah. Akhirnya UMNO tidak akan memerintah dan kita semua tidak dapat apa-apa pun.

Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini mungkinkah boleh dijadikan platform terbaik untuk memperbetulkan semua masalah ini menjelang pilihan raya umum akan datang?

DR. MAHATHIR: Perhimpunan UMNO tahun ini saya yakin mereka tidak akan bangkitkan perkara yang tidak disukai atas alasan menjaga sensitiviti dan sebagainya. Oleh itu perkara ini akan hanya terbenam begitu sahaja. Tidak ada sesiapa membuat analisis tentang tuduhan terhadap UMNO sama ada betul atau tidak. Betulkah Dasar Ekonomi Baru (DEB) cuma menguntungkan kroni-kroni Perdana Menteri sahaja? Kita kena jawab semua perkara ini dengan jelas dan fakta.

Bagaimana Tun melihat generasi baru dalam UMNO?

DR. MAHATHIR: Bagi generasi baru, keupayaan untuk menjelaskan perjuangan UMNO sudah tidak ada.

Tun menggambarkan seolah-olah hilang harapan tentang UMNO ?

DR. MAHATHIR : Saya hendak lihat UMNO ini jadi kuat tapi untuk UMNO jadi kuat ia mesti tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kalau ada tuduhan kronisme, betulkah tuduhan itu ? Kalau ada tuduhan hanya orang Melayu sahaja yang mendapat semua, betulkah ia berlaku ? Tapi malangnya tidak ada siapa yang mampu menjawapnya. Bila tidak ada jawapan malah Menteri pun tidak menjawap, ahli-ahli UMNO pun tidak menjawap, ketua-ketua bahagian pun tidak menjawap, tuduhan itu akhirnya menjadi seolah-olah benar.

Harapan saya supaya UMNO pergi ke merata tempat menjawap pertuduhan ini. Bukan melalui mesyuarat politik hanya bercakap untuk membela diri sahaja tetapi kerana hendak memberi parti kemenangan. Kita perlu menumpukan kepada parti dan bukannya individu.

Kalau kita tidak pergi bercakap dan menjelaskan kepada orang ramai maka akhirnya mayarakat hanya mendengar apa yang pembangkang kata. Macam DEB, ada yang mengatakan ia hanya menguntungkan kroni.

Apakah ia perkara yang betul ? Kita perlu tahu apa sebabnya mereka berkata begitu. Oleh itu kita perlu tunjukkan bukti jika pertuduhan itu tidak betul. Apakah mereka yang mendapat pelajaran kerana disebabkan DEB, beratus ribu orang diberi peluang untuk belajar keUniversiti dan kini menjadi professor dan pelbagai lagi, apakah mereka ini kroni DEB ? Adakah seorang pensyarah universiti yang baru-baru ini bercakap kasar tentang soal sultan, merupakan kroni saya ?

Jika tidak kerana usaha UMNO, bolehkah dia jadi professor sekarang ? Tidak boleh !

Saya hidup dari zaman British, ke zaman Jepun, kezaman Thai dan kemudian zaman pentadbiran tentera British, saya tahu pada masa itu langsung tidak ada peluang. Saya tulis buku Dilema Melayu kerana keadaan itu memang berlaku.

Tapi cuba buat perbandingan sekarang dengan dahulu, berapa ramai golongan Melayu profesional dan peniaga. Janganlah hanya menunjukkan satu dua orang yang kenal dengan saya. Takkan semua yang berjaya sekarang saya kenal. Saya tidak kenal pun. Cuba buat soal selidik tentang perniagaan orang Melayu dan saya juga telah berjumpa dengan ramai orang Melayu yang berjaya dan mereka bukan kroni saya pun. Tapi sampai sekarang masih tuduh saya ada kroni padahal saya sudah berhenti. Saya bukan ada kuasa apa pun sekarang.

Masalah sekarang UMNO tidak pandai nak menjawap sebab itu hujah (pembangkang) mereka nampak betul.

Apa yang Tun maksudkan tentang tidak pandai menjawab dan apa punca perkara ini berlaku ?

DR. MAHATHIR : Pertamanya adalah kerana menang tipis pada Pilihan Raya 2008 menjadikan UMNO pihak yang lemah. Apabila lemah orang lain senang menghentam. Kalau kita boleh menjawab itu tidak jadi masalah tapi kalau kita tidak boleh jawab maka susahlah. Perkara yang tidak benar pun kita akur dan kemudian ambil tindakan.

Contohnya kalau kontrak kerajaan hanya pergi kepada kroni perdana menteri sahaja, betulkah ia berlaku ? Berapa banyak kontrak yang diberi, siapa yang dapat projek ? Perlu ada penjelasan tentang hal ini.

Apakah kerana soal perpecahan Melayu menjadikan UMNO semakin sukar menjawap ?

DR. MAHATHIR : Saya kata ada 10 tahun lagi kita akan hilang kuasa tetapi kita sudah hilang kuasa sekarang ni pun. Ini kerana masing-masing berpandangan kena minta orang cina sokong kalau tidak kita habis. Maka sekarang ini kita sudah jadi puak minoritilah.

Sekarang ni apa yang kita nak buat pun kena tanya, apa orang cina dapat. Kalau kita nak tolong orang sikit pun orang cina pun kena dapat juga. Kalau macam ni susahlah.

Apakah kelemahan yang dibangkitkan tadi turut disumbangkan oleh rakan-rakan dalam BN seperti Gerakan dan MCA ?

DR. MAHATHIR : Sebenarnya kredibiliti mereka sudah hilang pada PRU 2008. Ini kerana semua tidak suka kepada Tun Abdullah Badawi. Orang ramai pun tidak bagi sokongan kepada beliau. Jadi sekarang ini yang kalah adalah BN dan kerana orang Melayu tidak sokong BN itu sebab mereka kalah. Kalau orang cina saja yang sokong BN tidak mencukupi.. Kebanyakan kawasan yang mana orang cina berpecah dua, orang Melayu yang akan menentukan siapa menang.

Tapi orang Melayu tidak mahu sokong BN. Oleh itu bila jadi lemah, orang cina yang ekstrem akan membuat pelbagai permintaan dan kemudian menyatakan bila permintaan ini dipenuhi barulah mereka akan sokong BN. Tapi dikebanyakan kawasan , undi orang Melayu untuk calon BN sama penting dengan undi orang Cina dikawasan Melayu.

Oleh itu Tun rasa formula asal BN masih relevan sekarang ?

DR. MAHATHIR : Apa salahnya BN ? Kita tidak menjawab dan mempertahankan kedudukan dengan betul. Ya, kita akui ada rasuah tapi dimana-mana pun tetap ada rasuah. Bukan satu perkara yang mudah untuk menghapuskan rasuah. Tetapi hakikatnya adalah, selama 50 tahun BN memerintah, negara kita maju dan dianggap lebih maju berbanding semua negara membangun.

Yang dapat kemerdekaan sama dengan kita tidak ada satu pun semaju dengan kita. Ini adalah kejayaan besar BNwalaupun ada tuduhan rasuah di sana sini. Kegiatan rasuah boleh diambil tindakan bila ada bukti, janganlah ambil tindakan tanpa bukti. Penyiasatan tentang rasuah saja sudah memburukkan nama.

Kalau betul BN gagal urus negara, ingat kita boleh hidup seperti sekarang ? Apakah kita tidak tolong orang cina ? Kalau kita lihat, harta mereka berlipat kali ganda daripada orang Melayu. Tapi mereka masih tidak puas hati juga dan kita kena perjelaskan kepada mereka.

Apakah orang Melayu macam sudah agak kritikal terhadap UMNO ?

DR. MAHATHIR : Ini adalah soal impression bahawa UMNO dipimpin oleh orang yang korup dan kita dapati orang yang ada kelayakan tidak dibenarkan masuk dan pegang jawatan. Ini adalah perkara yang benar malah kita hendak cari pemimpin dalam UMNO sekarang pun susah. Di Selangor begitu ramai orang Melayu tapi hendak cari pemimpin cukup susah, boleh tak kita bayangkan tentang hal ini. Kita sebenarnya yang merosakkan parti kita kerana melayan orang semacam ini.

Apakah masih ada harapan untuk UMNO memandangkan takkan orang hendak meletakkan nasib pada PKR ?

DR. MAHATHIR : Saya harap kita boleh menang tapi kalau kita tidak jaga mungkin kemenangan itu kecil sahaja, Jika kemenangan kecil kita akan jadi kerajaan yang lemah dan lebih banyak masalah akan berlaku.

Kita meletakkan satu harapan supaya orang Melayu kembali bersatu ?

DR. MAHATHIR : Orang Melayu tidak boleh mengharap sahaja tetapi perlu bertindak. Mereka kena berusaha dan saya berpendapat masalah paling besar adalah perpecahan orang Melayu. Sekarang ini keadaan terbahagi kepada tiga puak, mungkin UMNO yang paling besar. Tetapi kemenangan kita tipis dan apabila lari sikit pun dah susah.

Katakanlah Pakatan Rakyat dapat undi lebih daripada kita sekarang, itu pun sudah membahayakan. Satu lagi adalah Pas yang sekarang ini sanggup buat apa sahaja untuk dapat undi orang cina. Sampai prinsip perjuangan pun mereka gugurkan. Tapi hakikatnya masa cadangan supaya ditumpukan kepada soal negara berkebajikan dan bukan lagi negara Islam dan hudud. tidak ada bantahan pun. Ini menunjukkan mereka sokong supaya tidak ditumpukan kepada penubuhan negara Islam.

Selepas PRU 2008, kelihatannya negeri-negeri yang dipimpin pembangkang gagal untuk melaksanakan tugas mereka. Apakah ini akan mengembalikan sokongan kepada UMNO ?

DR. MAHATHIR : Jika kita tidak memberi penjelasan kepada ahli-ahli UMNO dengan menyatakan bahawa jika kalah akan membawa kepada lebih banyak masalah kepada orang Melayu, ini memberi ruang untuk mereka mendengar tuduhan oleh pembangkang. Maka bila kita senyap ia kelihatan seperti betul.

Jadi apakah usaha UMNO, untuk turun kebawah berjumpa orang ramai bahawa tuduhan itu palsu ? Orang dalam UMNO tidak boleh hanya pentingkan kedudukan dan tidak memperdulikan soal parti. Saya melihat jika kita tidak bertindak sekarang walaupun kita menang nanti, ia akan hanya menjadi sebuah parti yang lemah.

Saya perhatikan sejarah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan, pada awalnya mereka popular tapi lama-kelamaan orang sudah lupa terhadap sumbangan mereka. Mereka yang lahir selepas merdeka sewaktu kita sudah maju , mereka lahir dalam satu keadaan seperti khayal dengan kuasa dan kedudukan mereka pula tidak terancam dan kekal berterusan.

Kalau kita buat perbandingan dengan nasib orang Melayu di Singapura misalnya ramai yang sudah tidak boleh cakap Melayu. Begitu juga orang cina disana yang mana sekolah-sekolah cina dihapuskan tetapi tidak mendapat bantahan kaum mereka sendiri yang menjadi majoriti. Kenapa disini yang jumlah orang cina kecil tetapi mereka tetap mahukan sekolah cina ?

Cuba lihat hanya seorang Melayu yang dilantik menjadi Brigedier Jeneral di Singapura, tapi dikhabarkan panjang lebar. Tapi disini orang cina menjadi Mejar Jeneral kita tidak cakap banyak pun kerana ia adalah sesuatu yang biasa.

Apakah Tun akan bantu dengan turun padang ?

DR. MAHATHIR : Saya bersedia walaupun sudah tua dan sepatutnya sudah pencen pun seperti yang dikatakan beberapa pihak. Saya nak tolong parti tapi saya berpendapat nak tolong parti bukan sahaja dengan turun padang berkempen rambang sahaja.

Yang menjadi masalah adalah bukan ahli biasa tetapi pemimpin. Jika pemimpin-pemimpin ini masih mengamalkan cantas-mencantas maka parti akan kalah. Kita tidak berani untuk menamakan bakal calon kerana akan ada pihak yang akan buat kerja untuk mengalahkan orang tersebut awal-awal lagi. Ini masalah UMNO dan ia merupakan masalah besar. Dua masalah besar dalam UMNO adalah perpecahan di kalangan orang Melayu dan kedua, ahli dan pemimpin dalam UMNO tidak fikir tentang perjuangan UMNO tetapi hanya fikir tentang perjuangan mereka.

Mereka hanya tahu untuk menang ketua cawangan, ketua bahagian dan jadi calon. Dua perkara ini perlu diselesaikan UMNO. Jika tidak bagi keutamaan kepada parti maka parti akan kalah dan jika parti kalah segala kepentingan diri itu pun akan hilang.

Apakah Tun melihat orang Melayu ini banyak mengalah kepada kaum lain ?

DR. MAHATHIR : Kita bila berjalan akan tunduk sopan dihadapan orang. Orang Melayu merupakan bangsa yang paling hormat kepada orang lain. Orang marah sikit mereka hanya senyap sajalah. Kita tidak boleh beli undi orang tapi kita kena yakinkan orang supaya mereka sokong bukan kerana duit.

Kemudian kita perlu percaya kepada perjuangan iaitu untuk agama Islam, untuk bangsa dan negara. Itu adalah tujuan UMNO diasaskan. Kita juga kena yakinkan pada semua orang tentang betapa pentingnya memberi sokongan.

Bagaimana Tun melihat pandangan yang menyatakan bahawa pendapat dan pandangan Tun sudah tidak lagi relevan dan terlalu konservatif ?

DR. MAHATHIR : Dalam blog saya ada orang Melayu yang menyatakan bahawa saya ini sudah lama dan tidak relevan. Tapi saya tahu bahawa pandangan saya masih relevan kerana orang yang berkata itu jika tidak dengan pertolongan , dia tidak akan ada disitu. Dia ada disitu kerana dia ditolong melalui DEB. Kita tidak ambil semua harta-harta orang cina. Melalui dasar ini kita bagi separuh kepada orang Melayu dan orang cina kita bagi juga. Tapi orang Melayu tidak berani kata sekarang yang dulu kita bagi juga pada orang cina.

Kalau kita tengok semua parti yang menuntut kemerdekaan sampai masa 50 ke 70 tahun, ia mula kurang mendapat sokongan mayarakat. Apakah ia satu proses semulajadi atau ada isu-isu tertentu ?

DR. MAHATHIR : Antara perjuangan untuk kemerdekaan dengan pembangunan sesebuah negara, kebolehan itu berbeza. Orang yang menuntut kemerdekaan tidak semestinya faham cara-cara pemerintahan. Jadi kita bernasib baik kerana orang yang berjuang dahulu terdiri daripada mereka yang biasa dengan pemerintahan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan sebagainya. Itu sebabnya kita mampu bertahan lebih lama berbanding negara lain. Tapi generasi kini tidak melalui kehidupan yang tertekan seperti dahulu.

Mereka lahir sahaja sudah ada kuasa, jadi mereka tidak melalui kesusahan itu. Mereka merasakan ia adalah satu perkara semulajadi dan mereka akan beranggapan begitu sampai bila-bila. Bagi mereka, perjuangan berasaskan kaum ini sudah tidak lagi sesuai. Dunia sekarang sudah tidak mengenal kaum lagi. Mereka nampak apa yang dikatakan Barat adalah betul dan sesuai seperti kebebasan, hak asasi dan sebagainya.

Mereka dilahirkan pada zaman yang berbeza. Saya sudah merasakan zaman yang sukar dimana orang melihat betapa hinanya orang Melayu. Orang muda tidak tahu semua ini, mereka hanya nampak orang yang naik ini sebagai kroni kerajaan. Siapa yang kata kepada mereka, pihak pembangkang yang bagi tahu.

Sedangkan apa yang mereka dapat sekarang ini pun adalah disebabkan kerajaan yang diperintah oleh orang Melayu yang menjaga kepentingan mereka dan bukan nak merampas kepentingan orang lain pun. Ini semua mereka tidak sedar kerana mereka menganggap ia berlaku secara semulajadi.

Kalau ikut pemerhatian Tun tentang kedudukan orang Melayu, di mana kedudukan kita sama ada cemas, bimbang, risau atau bagaimana ?

DR. MAHATHIR : Bagi generasi tua yang melalui kepayahan dahulu atau mereka yang sedar tentang kepayahan Melayu dahulu, mereka faham keadaan dimana kemajuan ini diperoleh secara perlahan-lahan. Jadi mereka faham dengan keadaan sebenar dan mereka berasa cemas. tetapi generasi yang dilahirkan pada zaman kita mewah dimana orang Melayu dapat peluang perniagaan, belajar di universiti dan sebagainya, mereka ini mempunyai pandangan yang berbeza. Mereka beranggapan kemajuan yang diperolehi ini adalah sesuatu yang biasa dan semulajadi.

Tun ada menyatakan bahawa keadaan sekarang bukan masa yang sesuai untuk pilihanraya. Berdasarkan pengalaman Tun sebagai bekas perdana menteri, bila ilham yang sesuai ?

DR. MAHATHIR : Sepatutnya kita biarlah habis tempoh idah kita. Ini kerana ada empat buah negeri yang diperintah pihak lawan. Mereka berhak untuk tidak bubarkan dewan. Jadi mereka sudah ada empat negeri yang sudah menang. Mereka hanya perlu berjuang untuk negeri-negeri yang lain sahaja. Jadi banyak kelebihan kepada mereka.

Saya berpendapat orang Melayu belum lagi dapat memberikan parti BN ini kemenangan. Pada PRU2008, semua orang terkejut walaupun saya percaya satu atau dua buah negeri akan jatuh dan orang Melayu tidak berapa sokong BN. Tapi sebenarnya penolakan orang Melayu terhadap BN adalah lebih besar. Ini kerana macam diKedah, ada yang memberitahu saya bahawa kerana saya sudah bersara dan kemudian dilayan seperti musuh, maka ramai orang menolak BN. Sekarang ini tidak tahulah sama ada mereka ini mahu kembali menyokong atau tidak. Tapi bagi saya, ramai juga yang boleh terima tapi keadaan sudah berubah dan persepsi tak kena. Cuma kita perlu tunjukkan di mana yang tidak betul dan tidak kena.

Bagi sesetengah orang Melayu, mereka menganggap DEB adalah sebagai satu kemuliaan dan meletakkan mereka sebagai tuan. Yang sebenarnya ia adalah untuk menolong mereka menjadi tuan atas pertolongan diri sendiri. Kita hanya bagi peluang lebih sedikit kepada mereka. Bila sudah cukup untuk mereka berdikari sendiri, ketika itu hendak gugurkan DEB , bolehlah.

Bagi saya rezab Melayu pun saya tidak suka kerana kenapa saya perlu duduk di dalam negar sendiri dikawasan yang direzabkan. Namun melihat keadaan dan kelemahan orang Melayu, bila mereka menjual tanah mereka akan menjual semuanya. Jadi macam orang Arab jual tanah kepada Yahudi, kemudian mereka sudah tidak ada tanah. Orang Melayu bila buat macam ini kemudian mereka lari. Saya sudah perhatikan perkara ini sejak kecil lagi di Alor Setar.

Mereka duduk ditengah-tengah bandar kemudian ada orang mahu membeli tanah mereka, asalnya mereka tak nak. Tapi bila ditawarkan pada harga lebih tinggi mereka sudah tidak tahan dan jual. Kemudian mereka berpindah kepinggir bandar. Berlaku pembangunan sehingga ke kawasan mereka maka ada yang menawar membeli tanah mereka lagi dan mereka jual. Akhirnya mereka jual dan pindah, maka lama-lama mereka masuk hutanlah.

Itulah kelemahan orang Melayu kerana tidak ada duit. Bila ada duit mereka sepatutnya beli aset lain pula. Kita sudah berjaya bantu orang Melayu yang boleh beli tanah milik orang bukan Melayu. Tapi jumlahnya masih sikit dan kita belum mencapai matlamat. Bagilah masa sikit pada kita, bukan selamanya. Jika kita bagi selamanya ia adalah umpama tongkat. Jadi bila kita kena pakai tongkat maknanya kita sudah lemah dan tualah.

Apakah kita mampu bersaing dengan kaum lain sekarang. Jika belum berapa lama lagi ?

DR. MAHATHIR : Saya rasa kita masih belum mampu. Kalau betul-betul berdasarkan merit, kita tidak mampu lagi. Kebanyakan penuntut yang masuk universiti sekarang belum mampu. Itu pandangan saya. Bagi saya, kita kena usaha supaya mereka betul-betul menggunakan segala peluang yang diberikan kepada mereka. Kita tidak boleh melihat ia sebagai sesuatu yang datang bergolek kepada mereka. Mereka perlu berusaha sehingga mereka menjadi kuat dan kemudian boleh membuang tongkat, buat apa pakai tongkat lagi.

No Responses to “MENANGI HATI ORANG MELAYU”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s