Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

Najib timbang beri bonus lumayan pekerja awam

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, sedang menimbangkan satu bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan di Malaysia.

Ia akan diumumkan oleh Datuk Seri Najib sendiri dalam pembentangan Belanjawan Malaysia untuk tahun depan, dengan tujuan menangani kenaikan kos sara hidup dan menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum Malaysia ke-13 yang dijangka diadakan dalam masa setahun ini, menurut satu laporan laman berita setempat, semalam.

Laman berita dalam talian itu, The Malaysian Insider, telah difahamkan bahawa perdana menteri telah meminta pihak Kementerian Kewangan supaya mengkaji kos kedua-dua pilihan tersebut.

Langkah itu mirip pendekatan yang diambil oleh mantan perdana menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2007 – setahun sebelum menjelang pilihan raya umum Malaysia ke-12 pada Mac 2008.

Ketika itu, Tun Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.

‘Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar pada akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,’ kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, akan membentangkan Belanjawan 2012 itu pada 7 Oktober ini.

Bulan lalu, kerajaan Malaysia membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada kakitangan awam.

Ia juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada para pesara sektor awam.

Datuk Seri Najib berkata kerajaan Malaysia berharap pemberian bonus dan bayaran khas itu dapat meringankan beban para penjawat awam dan pesara kerajaan, serta membantu mereka membuat persediaan menyambut perayaan Aidilfitri. Ia membabitkan kos sebanyak RM2 bilion.

Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008, meskipun Tun Abdullah ketika itu menguasai 91 peratus kerusi dalam Parlimen.

Datuk Seri Najib sedang berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk rancangan memansuhkan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan pada minggu lalu.

‘Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hidup selepas pemotongan subsidi baru- baru,’ kata seorang lagi sumber kepada laman berita dalam talian itu.

No Responses to “Najib timbang beri bonus lumayan pekerja awam”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s