Melayu Muda
Perbincangan isu-isu bangsa Malaysia

Bersih jejaskan peluang PR

SHAH ALAM – Tindakan pembangkang bersekongkol dengan penganjur Bersih kelmarin bukan sahaja tidak mencapai matlamat malah boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap mereka pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana, perhimpunan haram seperti itu mencetuskan kekacauan serta menyusahkan orang ramai bukan satu budaya yang boleh diterima rakyat negara ini malah sebahagian besar daripada mereka menolak tindakan itu.

“Saya sudah buat tinjauan di merata tempat dan majoriti saya temui menolak Bersih. Perhimpunan haram, demonstrasi bukan budaya kita, tak kira apa bangsa dan mereka menolaknya. Saya percaya ini boleh menjejaskan pengaruh PR (Pakatan Rakyat) pada pilihan raya akan datang,” kata Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman.

Ditanya apakah tindakan pembangkang bersekongkol dengan penganjur Bersih terutama pengerusinya, Datuk S Ambiga sebagai langkah silap, Ahmad Nizamuddin mengakui “ya” malah menyifatkan ia bukan tindakan bijak.

“Ambiga sebagai peguam menggunakan perundangan untuk matlamat politik sedangkan Bersih diberi peluang lebih besar menyalurkan mesej mereka. Mereka diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong. Ini peluang besar. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga buka pintu rundingan sebesar-besarnya.

“Tetapi, mereka pilih jalan berdemonstrasi. Mereka mensia-siakan peluang begitu bermakna. Ini yang orang kita tak boleh terima,” katanya.

Ahmad Nizamuddin berkata, alangkah moleknya jika penganjur Bersih batalkan sahaja perhimpunan itu selepas diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan imej mereka tentu akan melonjak jika mereka menggunakan peluang dibuka itu untuk menyalurkan mesej mereka.

“Perhimpunan Bersih bukan sahaja tidak mencapai matlamat, malah menjejaskan sokongan terhadap penganjur dan parti pembangkang,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Attory Hussain pula berkata, Bersih 2.0 gagal mendapat sokongan majoriti rakyat kerana mereka membawa lebih banyak agenda politik daripada maksud sebenar.

“Tiada apa dicapai kecuali penahanan 1,401 orang dan kepedihan mata penyokong akibat disembur gas pemedih mata.

“Apa yang dilakukan tidak membawa suara majoriti rakyat Malaysia. Ramai yang marah kerana lebih merasai kesusahan daripada hasil tuntutan mereka,” katanya.

Ahmad Attory berkata, walaupun terlalu awal untuk memberi jangkaan tetapi beliau tidak yakin pembangkang akan menguasai lebih banyak negeri pada pilihan raya akan datang.

“Pada 2008, kepimpinan BN lemah dan ramai rakyat mahu tukar pemimpin. Tetapi hari ini, keadaan tidak begitu. Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan kejadian yang berlaku di negeri pembangkang hari ini mampu membuatkan pengundi atas pagar lebih cenderung memilih BN,” katanya.

Beliau berkata, sejak pembangkang mengambil alih beberapa negeri, banyak isu timbul yang mana rakyat sendiri tidak jangka akan berlaku.

Menurutnya, perhimpunan haram kelmarin membuatkan rakyat berfikir panjang siapa mahu mereka pilih.

“Saya sendiri mendengar banyak rungutan daripada orang ramai seperti peniaga kerugian, mereka yang sakit tersangkut di jalan raya sesak dan yang mengadakan majlis perkahwinan, kecewa kerana tiada rakan taulan yang dapat hadir.

“Apa yang terjadi menunjukkan Bersih tidak memegang suara majoriti tetapi memuaskan hati pemimpin PR sahaja,” katanya.

Ahmad Attory turut memuji tindakan tegas pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya yang menurutnya banyak membantu mencegah kejadian lebih buruk. – SINAR HARIAN

No Responses to “Bersih jejaskan peluang PR”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s